Anak Selalu Berkepit? Ini 9 Cara Untuk Mengatasinya

Tentu ramai ibu ada anak yang tidak mahu lekang darinya. Bagi kebanyakkan wanita yang juga ‘first time mother’, perkara ini tentu amat memenatkan sehingga ada yang mengalami kemurungan. Percayalah, hanya anda tahu bagaimana kelam-kabutnya keadaan sampai tiada masa untuk diri sendiri.

Mengapa Anak Enggan Berpisah?

Mengikut istilah kesihatan, perkara ini dikenali sebagai ‘separation anxiety’. Ia boleh berlaku kepada bayi seawal 7 bulan, iaitu ketika bayi sudah mengenal kehadiran ibunya. Keadaan ini paling sering berlaku kepada bayi sekitar 10 hingga 18 bulan dan ada yang berlarutan sehingga ke peringkat kanak-kanak.

Anak Suka Berkepit

Antara sebab utama berlakunya keengganan mereka untuk berpisah daripada ibu atau penjaga mereka ialah :

1. Hubungan Yang Erat

Hubungan emosional yang erat antara anda dan anak anda kadangkala boleh menjadi punca daripada masa yang diluangkan untuknya, sama ada terlalu banyak atau terlalu sedikit. Di dalam fikirannya, dia berasa perlu untuk berkepit dengan anda kerana selesa dan tidak mahu kehilangan anda.

2. Bayi Tidak Faham Konsep Masa dan Kekal

Sesetengah anak kecil masih belum memahami konsep masa dan objek yang berkeadaan kekal seperti dalam situasi berikut :

Konsep Masa : Anda berlalu keluar dari tempat dia untuk mendapatkan telefon. Dia mula gelisah kerana menyangkakan bahawa anda telah keluar buat masa yang lama.

Konsep Kekal : Semasa bermain, mereka menyangka mainan yang kita sorokkan di dalam genggaman tadi sudah hilang.

3. Anak Yang Sensitif

Anak yang sebegini merasakan bahawa dia sudah merindui anda walaupun anda hanya pergi sebentar. Ini adalah reaksi daripada kefahamannya yang agak matang terhadap persekitaran.

Berapa Lamakah Keadaan Ini Akan Berterusan?

Biasanya, keadaan ini hanyalah bersifat sementara. Jika anda cepat mengenalpasti punca kegelisahannya, lebih cepatlah dia kurang berkepit dengan anda. Anda juga harus konsisten dalam mengajarnya menjadi lebih berdikari tanpa anda di sisi.

Walaubagaimanapun, setiap anak berbeza dan mungkin ada sesetengahnya mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan perpisahan.

Tips Menghadapi Anak Kecil Yang Suka Berkepit

1. Jangan Memaksa

Dalam mengatasi masalah ini, jangan sesekali memaksa mereka. Ini kerana, dia mungkin akan berasa lebih takut dan gelisah kerana menyangka anda akan membuat sesuatu yang lebih ekstrim nanti.

Kata kunci yang paling penting ialah bersabar dan curi peluang untuk berehat sebanyak-banyaknya apabila bayi anda tidur. Tanpa rehat yang cukup, emosi menjadi tidak stabil dan anda akan cepat melenting.

2. Mulakan Latihan Dengan Langkah Yang Paling Mudah

Semasa di dapur, cuba panggil namanya atau menyanyi lagu kegemarannya. Walaupun kedengaran janggal, ia adalah langkah pertama untuknya belajar bahawa dia masih akan selamat walaupun anda tiada disisi.

Anda juga boleh bermain ‘cak’ atau ‘peekaboo’ dengan menghilangkan diri ke bilik buat seketika. Melatihna dengan bermain objek juga dapat membantu kefahamannya tentang konsep ‘kekal’. Cara ini dapat membantu bayi anda memahami bahawa sesuatu yang tidak nampak tidak semestinya ‘hilang’.

3. Cuba Biarkan Mereka Berseorangan

Sebelum cuba memperkenalkan bayi dengan orang lain, cuba biasakan mereka bermain berseorangan. Biarkan dia mengejar permainan yang bergerak, membelek jari kakinya, bercakap sendirian, atau termenung memandang siling apabila bangun dari tidur.

Proses ini akan menggalakkan anak anda menjadi lebih yakin pada diri sendiri dan berdikari. Memang waktu-waktu comel ini akan membuatkan anda lebih cenderung untuk mencium atau mendukungnya. Maka bertahanlah, dan cuba untuk mengintip dari jauh sahaja.

4. Tinggalkan Seketika Dengan Suami Atau Penjaga

Jika bayi sudah mula faham ketiadaan anda, anda bolehlah meningkatkan ‘masa pemergian’ anda secara berperingkat. Dalam hal ini, anda perlu tabahkan hati jika mendengar tangisannya buat pertama kali semasa ditinggalkan bersama suami atau penjaga. Jangan terus datang, sebaliknya beri peluang kepada suami anda untuk menenangkannya.

Jika masih tidak berjaya, barulah anda kembali mendapatkanya dengan wajah yang ceria. Ini penting kerana ia akan memberikan kesan positif bahawa tiada apa yang patut dirisaukan.

5. Jangan Ambil Masa Terlalu Lama Semasa Mengucapkan Selamat Tinggal

Jika anda dalam proses untuk menghantarnya ke pengasuh atau pusat jagaan, waktu normal untuknya berasa selesa adalah sekitar 2 minggu. Oleh itu, ambil masa untuk relaks dan pastikan anda tidak terburu-buru.

6. Jangan Mengelat

Jadikan rutin untuk memberitahu mereka setiap kali anda mempunyai urusan seperti mahu ke tandas atau mengambil sesuatu dari bilik.

7. Bacakan Buku Cerita Yang Sesuai

Cara-cara lain termasuklah menunjukkan foto-foto, video, atau membacakan buku cerita yang sesuai dengan tema ‘separation Anxiety’.

8. Gunakan Penggengdong Atau Stroller Apabila Perlu

Terdapat hari-hari tertetu yang serba tak kena di mana bayi anda langsung tidak membenarkan anda buat apa-apa selain duduk berkepit dengan anda.

Ya, inilah masanya anda menggunakan perisai ajaib. Kedua-dua benda ini bukan sahaja berguna di luar rumah, malah ramai juga ibu yang mengenakannya di dalam rumah.

Mungkin ada yang terfikir sama ada anda manjakan bayi jika mereka mengikut sangat kemahuan mereka. Namun, bagi bayi yang berusia setahun dua, dakwaan ini tidak boleh diterima pakai.

9. Solat Di Depan Anak Kecil

Bagi ibu Muslim, tidak perlu kekok untuk bersolat di depan anak kecil walaupun mungkin anda akan terganggu dengan tangisannya. Jangan sesekali merasakan solat itu menyusahkan walaupun mempunyai bayi yang asik mahu berkepit.

Sebaliknya, bersolat sedikit sebanyak dapat membantu kita dan anak kecil mendisiplinkan diri. Selain itu, ia juga merupakan contoh yang terbaik untuk mengajar anak kita solat sejak dari kecil.

Setiap Anak Ada Keunikan Masing-Masing

Walaupun anda merasakan fasa berkepit ini tidak akan berakhir, percayalah ia akan menjadi semakin mudah. Yang peting, beri ruang pada diri anda dan si kecil untuk saling memahami supaya anda berdua boleh bertolak ansur. Setiap anak mempunyai ciri yang unik dan pastiknya akan merindui saat-saat bersamanya apabila sudah besar nanti.

Sumber : SirapLimau

 

Masukan email anda untuk melanggan artikel percuma dari kami.

Anda mungkin meminati