Cara Mendidik Anak Lelaki Menjadi “Gentleman”

Saat anda melahirkan anak lelaki anda, anda pastinya bercita-cita untuknya menjadi seorang lelaki yang budiman, yang mampu menjaga keselamatan keluarga, yang boleh diharap, yang kuat, yang mampu menghadapi cabaran dengan sebaiknya dan juga anda pastinya mahukan anak anda menjadi seorang lelaki yang dihormati.
Sebenarnya, besar harapan kedua ibubapa terhadap anak lelaki kerana lelaki sememangnya dilahirklan sebagai pemimpin atau ketua.
Oleh itu, ramai ibubapa yang risau dengan cara mendidik anak lelaki yang sepatutnya diamalkan mereka. Ibubapa juga beranggapan anak lelaki ini lebih besar egonya, lebih nakal dan sedikit sukar untuk diawasi. Oleh itu, kebanyakan ibubapa memilih cara mendidik anak yang tradisional sepertimana mereka dibesarkan iaitu menggunakan sedikit kekasaran.
BACA : Ini Cara Didik Anak Yang Ibubapa Perlu Amalkan
Sebagai contoh, menggunakan rotan, menghukum mereka dengan mengikat mereka di pokok atau mengurung mereka didalam bilik. Sebenarnya cara ini bergantung kepada anak anda juga. Bergantung kepada personaliti dan psikologi anak anda.
Selami Perasaan Mereka
Kebanyakan ibubapa kurang mendengar masalah yang ingin diceritakan oleh anak lelaki. Bagi mereka, anak lelaki seharusnya kuat dan tidak mudah kalah kepada masalah. Anak lelaki seharusnya tidak mudah menangis, tidak mudah kalah kepada perasaan dan sentiasa “cool”.
Tanggapan tersebut sebenarnya adalah salah dan tidak seharusnya digunakan untuk anda mendidik anak lelaki anda. Berdasarkan kajian, kata-kata seperti “kamu kan lelaki, kamu kena kuat” sebenarnya mengajar anak-anak anda untuk menjadi seorang yang sentiasa menyorokkan perasaan sebenar mereka dan apabila mereka menginjak usia dewasa, mereka bertukar menjadi lelaki yang tidak pandai untuk mengekspresikan perasaan mereka.
Apabila mereka tidak diajar untuk berkongsi masalah dan sebagainya mendorong kepada tekanan perasaan kerana mereka tiada tempat untuk meluahkan perasaan atau masalah mereka.
Ajar Mereka Nilai Empati
Empati merujuk kepada kemahiran sosial untuk mereka memahami dan menyelami perasaan orang lain sekaligus mengelakkan mereka dari melakukan perkara yang akan menyakitkan serta menyinggung perasaan orang lain. Dengan adanya nilai empati dalam diri anak-anak lelaki anda, anda akan menjadikan mereka seorang kawan yang baik dan juga mampu untuk menjadi seorang suami serta ayah yang pandai menjaga hati keluarga.
Sebagai contoh, ketika anda dan anak lelaki anda sedang menonton cerita askar yang berjuang mempertahankan negara. Tanyakan kepadanya apa agaknya perasaan keluarga watak utama yang sedang berjuang di medan perang tersebut.
Anda juga boleh galakkannya untuk membaca novel kerana penceritaan didalam novel mampu untuk menjadikan anak anda menyelami perasaan watak yang diceritakan didalam novel tersebut.
Kuatkan Keyakinan Diri Anak Anda
Jika kebiasaannya anda lebih gemar memberikan pujian secara umum seperti anda mengatakan anak lelaki anda sebagai budak pandai, paling hebat dan sebagainya yang bersifat umum, apa kata jika anda memujinya berdasarkan apa yang telah berjaya dicapainya?
Pujian yang terlalu umum dirisaukan sekiranya anak anda tidak berjaya untuk mencapainya suatu hari nanti apabila dia berjumpa dengan had keupayaannya akan membuatkan dirinya menjadi semakin hilang semangat serta keyakinan diri.
Jika anda memujinya sebagai seorang yang kuat berusaha untuk mencapai sesuatu perkara, anak anda akan ingat pujian anda bahawa dirinya merupakan seorang yang kuat berusaha untuk mencapai sesuatu dan dia akan kekal berusaha untuk mencapai apa yang dihajatinya.
Sekian sahaja untuk artikel kali ini. Diharapkan anda mendapat manfaat hasil dari perkongsian didalam artikel ini. Banyak lagi cara mendidik anak lelaki yang boleh anda amalkan.
Anda harus memilih cara yang terbaik dan mampu disesuaikan dengan personaliti anak anda. Begitu juga dengan pendekatan untuk setiap cara dari segi gaya bahasa dan nada anda untuk menyampaikannya.