Panduan Mendidik Anak Yang Ohsem!
Bila berbicara mengenai anak-anak, ada ibubapa yang sangat-sangat teruja dan tidak kurang juga ibubapa yang mengeluh tanda kecewa atau runsing mengenangkan anak-anak mereka. Kebiasaannya apa yang merunsingkan ibubapa adalah dari segi akhlak dan perilaku anak-anak.
Jika semuanya baik-baik sahaja, maka tiada apa yang perlu ibubapa risaukan. Namun, jika ada sedikit perkara yang tidak menyenangkan misalnya anak-anak mereka tidak hormat ketika bercakap dengan mereka, suka keluar malam, jarang ada di rumah, pemarah dan sebagainya, pastinya mana-mana ibubapa sekalipun tidak mampu untuk terus menahan rasa kecewa tersebut.
Jika anda ingin mengelakkan anak-anak anda dari bersikap negatif seperti itu, anda perlu mengikuti panduan mendidik anak yang bakal kami kongsikan dalam artikel kali ini.
1 . Ajar Mereka Untuk Mengambil Kira Perasan Orang Lain
Untuk memudahkan anda memahami perkara ini adalah dengan memahami situasi berikut. Anda mempunyai dua orang anak kecil yang berusia 4 tahun dan juga 7 tahun. Anda membawa mereka ke pasar raya untuk membeli belah barang keperluan harian anda dan keluarga.
Tetapi, mereka sentiasa memberikan anda masalah seperti merengek tidak larat, merengek kerana lapar, menangis dan membuat bising kerana bosan. Hal ini pastinya menyukarkan kerja anda untuk membeli barang keperluan dan kesabaran anda pastinya akan sedikit tercabar disebabkan oleh perangai mereka.
Berbanding anda menyelesaikan masalah tersebut dengan memarahi anak-anak anda, apa kata anda memberitahu hal sebenar kepada mereka bahawa anda sebenarnya tidak suka mereka berkelakuan seperti itu dan bagaimana caranya anda boleh membuatkan mereka berkelakuan lebih baik.
Anda perlu beritahu mereka yang tindakan mereka membuatkan anda berasa marah (contoh) dan beritahu mereka anda akan penuhi sebarang permintaan mereka supaya mereka menjaga perangai mereka dan mereka pula perlu untuk memahami perasaan anda.
Jika anak anda berkata yang mereka akan menjaga perangai mereka kalau anda sediakan bekal makanan untuk mereka, penuhi saja permintaan mereka. Bawa mereka untuk aktiviti yang sama sekali lagi dengan memenuhi permintaan mereka dan lihat apa hasilnya.
Jika hasilnya lebih memuaskan, ucaplah terima kasih kepada mereka kerana mengambil kira perasaan anda dan tidak lagi bersikap penting diri dengan melakukan perangai-perangai yang anda tidak senangi. Mungkin pada awalnya mereka tidak berapa mengerti maksud anda yang sebenarnya, tapi lama-kelamaan mereka pastinya mulai memahami bahawa penting untuk mereka mengambil kira perasaan orang lain juga dalam setiap tindakan mereka.
2 . Jangan Berkata Buruk Mengenai Orang Lain
Kalau anda kuat mengumpat sekalipun, jangan sampai ia berlaku di depan anak-anak anda. Hal ini kerana ada beberapa perkara yang akan berlaku hasil dari anda berkata buruk terhadap orang lain.
Yang pertama, kesan daripada perbuatan ini adalah, anda akan menyebabkan anak anda mempunyai persepsi yang buruk terhadap orang yang anda umpat tersebut. Jika anda berkata mengenai saudara terdekat mereka, mereka akan mulai bersikap negatif terhadap individu tersebut apabila mereka bertemu.
Kesan lain hasil perbuatan tersebut adalah, anak anda akan mewarisi sifat dan sikap ini. Ajar mereka untuk bersangka baik supaya mereka akan sentiasa nampak kebaikan dalam diri orang lain sekaligus menjadikan mereka sentiasa positif.
Jangan risau, sampai satu masa nanti, apabila anak anda membesar, walaupun mereka sentiasa bersangka baik terhadap semua orang, mereka masih mampu untuk membezakan siapa yang berniat jahat dan buruk.
Pernah dengar orang-orang tua berkata supaya jangan terlalu mengata orang, silap haribulan perangai tersebut berbalik kepada diri kita? Ada benarnya perkara ini dan anda pastinya pernah melaluinya juga bukan?
Kalau anda berkata buruk mengenai anak orang lain, silap haribulan anak anda pula yang akan berperangai sedemikian.
3 . Ajar Anak Anda Untuk Bersikap Pemurah
Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Pupuk sifat dan sikap ini sedari kecil. Anda merupakan “role model” untuk anak-anak anda.
Caranya mudah sahaja. Jika anda merupakan seorang ibu yang suka memasak, apa kata anda masak lebih sedikit dan berikan kepada jiran-jiran anda. Pastikan anak-anak anda tahu anda memasak dan bercadang untuk berikan kepada jiran-jiran. Pada mulanya, anda sendiri yang berikan.
Kemudian, anda boleh mula meminta anak-anak anda pula untuk memberikannya kepada jiran-jiran anda. Secara tidak langsung anda akan mengajar anak-anak anda untuk menjadi lebih berani berinteraksi dengan orang lain dan juga belajar untuk hidup berjiran.
Bagi bapa pula, setiap kali anda membawa anak-anak anda ke masjid, mulakan dengan anda dahulu yang memasukkan wang kedalam tabung masjid. Kemudian hulurkan wang kepada anak-anak anda untuk mereka pula masukkan wang tersebut kedalam tabung masjid.
Selepas anda melakukan perkara-perkara ini, beritahu mereka apa tujuan anda melakukan perkara tersebut dan ceritakan kepada mereka apa yang mereka akan perolehi hasil daripada tindakan yang mereka lakukan.
Itu sahaja panduan mendidik anak yang kami kongsikan dalam artikel kali ini. Apa yang harus anda ingat adalah, anak-anak anda sebenarnya banyak belajar daripada anda hasil dari tindakan anda. Mereka memerhatikan dan menganggap apa yang anda lakukan adalah yang terbaik.
Jika anak anda berkelakuan tidak berapa baik, anda boleh dah mula untuk muhasabah diri anda dan jika masih belum terlambat, berubah dan tunjukkanlah perilaku yang terpuji kerana anda merupakan ikutan anak-anak anda.