Tahap-tahap Dalam Perkembangan Anak-anak

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkembangan anak-anak?
Anda juga boleh samakan ia dengan perkembangan kanak-kanak. Perkembangan anak-anak merupakan suatu proses yang perlu dilalui oleh kesemua anak-anak. Ia melibatkan beberapa proses seperti mempelajari dan menguasai beberapa kemahiran asas dan kompleks seperti duduk, berjalan, bercakap, melompat dan juga mengikat tali kasut. Semuanya menunjukkan proses perkembangan anak-anak anda.
BACA JUGA : Doa Untuk Ibubapa, Jom Amalkan
Daripada tidak tahu apa-apa kemudian perlahan-lahan berubah dan belajar menjadi lebih baik dan mampu untuk bergantung kepada diri mereka sendiri. Sebenarnya, untuk setiap kemahiran ini mengambil tempat, terdapat tempoh masa yang dikira sebagai masa “standard” seperti kebanyakan kanak-kanak lain yang turut mempelajari dan menguasainya. Ada yang bermula lebih awal berbanding yang lain dan ada juga yang bermula sedikit lambat.
Anak-anak akan melalui proses perkembangan ini dalam lima aspek utama. Kelima-lima aspek utama ini adalah seperti berikut:
1 . Perkembangan Kognitif
Perkembangan kognitif merupakan perkembangan yang melibatkan kemahiran anak-anak anda untuk belajar dan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Tidak kisah samada masalah tersebut merupakan kemahiran kecil yang secara semulajadinya akan dipelajarinya seperti belajar dan mengetahui bahawa mereka boleh melihat keadaan sekeliling dengan mata, tahu tangan mereka boleh digunakan untuk menyentuh dan memegang sehinggalah masalah yang dikira sedikit kompleks seperti belajar untuk menyelesaikan masalah matematik asas bagi anak-anak kecil.
(Contoh: mengira berapa jumlah keseluruhan biskut yang mereka ada).
2 . Perkembangan Sosial dan Emosi
Perkembangan sosial dan emosi pula melibatkan kemahiran anak-anak anda untuk berinteraksi dengan orang lain. Hal ini termasuklah kemahiran atau keupayan mereka untuk mengawal diri mereka sendiri.
Contoh yang boleh diberikan yang melibatkan perkembangan sosial dan emosi adalah bayi yang berusia beberapa minggu mulai belajar untuk senyum, kemudian belajar untuk melambaikan tangan mereka dan bagi mereka yang berusia beberapa tahun pula mulai belajar untuk mengambil bahagian dalam aktiviti di sekolah atau belajar untuk berinteraksi dengan rakan-rakan baru di taman permainan.
3 . Perkembangan Bercakap dan Bahasa
Perkembangan bercakap dan berbahasa merupakan kemahiran bagi anak-anak anda untuk memahami, menguasai dan juga menggunakan bahasa dalam aktiviti seharian seperti bertutur. Kemahiran ini bergantung pada suasana anak-anak tersebut dibesarkan. Jika dia dibesarkan dan diajar untuk bercakap pelat, untuk beberapa tahun pertama, dia akan kekal dengan pelatnya.
Bila tiba masanya, anak-anak ini akan mulai mengetahui perkataan sebenar untuk sesuatu benda dan mula mengubahnya. Ada ibubapa yang memilih untuk tidak menggunakan bahasa pelat dalam mengajar anak-anak mereka bercakap. Mereka lebih selesa bertutur dalam bahasa “standard” tapi dalam nada yang mesra kanak-kanak.
4 . Perkembangan Kemahiran Pergerakan Ringkas
Bagi perkembangan kemahiran ini, ia lebih melibatkan perkara yang berkaitan dengan pergerakan seperti namanya. Begitu juga halnya dengan tahap pergerakan yang boleh dilakukan oleh anak-anak, seperti namanya juga, ia hanya melibatkan pergerakan yang ringkas dan pergerakan-pergerakan ini tidak melibatkan penggunaan dan pergerakan otot yang besar.
BACA JUGA : 12 Cara Ajar Anak Supaya Rajin Solat Ini Sangat Membantu Anda!
Contoh pergerakan yang terlibat dan termasuk dibawah perkembangan ini adalah mengangkat barang-barang kecil, memegang sudu, menyelak buku dan juga menggunakan alatan asas untuk menulis.
5 . Perkembangan Kemahiran Pergerakan Kompleks
Perkembangan ini melibatkan kemahiran anak-anak untuk menggerakan dan juga menggunakan otot-otot yang lebih besar untuk tujuan tertentu.
Antara perkara atau pergerakan yang termasuk dibawah kemahiran ini adalah bayi yang mula belajar untuk duduk dengan sokongan, bayi yang mula belajar berdiri sambil berpegang pada alatan tertentu atau perabot, bayi yang mula belajar berjalan, dan juga kanak-kanak yang mula belajar untuk melompat.